Wednesday, April 29, 2009

Motivasi - Remaja dan masyarakat

"JOHAN, mari kita ke rumah Pak Ramli. Ada kenduri doa selamat," ujar ayah Johan, Pak Abu.

"Malaslah, Johan penat," balas Johan yang sedang leka menonton televisyen.

"Penat tengok televisyen? Apa nak jadilah anak ayah ni. Susah betul kalau nak ajak pergi kenduri atau ke majlis. Kalau pergi membeli-belah terutama sekali barang permainan komputer, dialah yang paling cepat tunggu dalam kereta. Nak-nak lagi kalau kawan dia ajak keluar," ujar Pak Abu sambil menggeleng-geleng kepala.

"Takpelah ayah. Kalau Johan tak datang pun, mereka pun tak rugi, kan?" selamba Johan menjawab sambil tersengih-sengih.

"Kau kena belajar hidup bermasyarakat, Johan. Kita tidak boleh selama-lamanya hidup seorang diri dan hanya terlingkup selesa dalam golongan kawan-kawan sahaja. Melalui bermasyarakat kita kenal siapa jiran, siapa kawan. Meluaskan pergaulan yang sihat dapat meluaskan kotak pemikiran. Tak lah terkongkong dengan pemikiran yang sama sahaja".

"Kalau tak nak pergi, sudahlah. Tapi ibu tak masak juga, ibu ada kat sana sejak pagi tadi, bantu masak. Pandai-pandailah cari makan. Ayah pergi dahulu," kata Pak Abu kepada Johan.

"Ohh.. laparlah saya…" keluh Johan.

Pasti Pak Abu ada tujuan di sebalik ajakan kepada Johan, bukan hanya setakat mengajak makan sehingga kenyang, kemudian balik. Tetapi ajakan seorang ibu atau bapa sudah tentunya membawa tanggungjawab sosial untuk hidup bermasyarakat. Namun, ramai remaja yang tidak faham akan kepentingan hidup bermasyarakat dan pentingnya peranan mereka dalam masyarakat.

Pentingnya Hidup Bermasyarakat

Pergaulan secara sihat amat dituntut oleh Islam. Bahkan Islam tidak menganjurkan pemeluknya mengasingkan diri daripada masyarakat. Dalam konteks remaja, mereka secara umumnya memiliki dorongan untuk bergaul dengan manusia lain agar dapat hidup berdampingan dengan sesamanya.

Untuk itu, remaja perlu memiliki kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan orang lain. Remaja menghabiskan sebahagian besar waktunya di dalam kelompok yang seusia dengan mereka serta mempunyai pola pemikiran yang lebih kurang sama.

Pergaulan sosial adalah suatu proses perubahan pada diri remaja dalam rangka penyesuaian diri dalam kehidupan bermasyarakat. Justeru, setiap individu akan menjalani proses tersebut sepanjang hidupnya, melakukan penyesuaian terus menerus dalam kehidupannya sebagai anggota masyarakat.

Dalam pandangan Islam, sebuah masyarakat adalah kumpulan individu yang berinteraksi secara berterusan, memiliki satu pemikiran, satu perasaan dan di bawah aturan yang sama agar terjalin hubungan yang aman dan harmoni.

Apabila ada sebahagian anggota masyarakat yang menderita, maka individu yang lain menolongnya dengan semampu mungkin. Begitu juga ketika ada salah seorang anggota masyarakat yang melakukan kesalahan ada individu yang lain menegur dan menasihatinya.

Masyarakat Melayu umpamanya menjadikan tempat berkenduri, majlis-majlis adat serta majlis agama di masjid bukan hanya sebagai tuntutan ibadat dan adat. Tetapi juga sebagai lapangan untuk mereka bertemu sesama sendiri dan bertanya khabar.

Interaksi sosial sebegini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan hubungan, tetapi juga memperkembangkan ruang lingkup pemikiran dan mendapat pengetahuan baru, hasil daripada percakapan, pengalaman dan tingkah laku seseorang anggota masyarakat yang lain.

Terdapat pelbagai peranan dalam setiap kelompok sosial. Dalam suatu organisasi, terdapat peranan sebagai ketua, pengurus, setiausaha dan sebagainya. Di keluarga terdapat fungsi sebagai ayah, ibu, anak. Di sekolah ada pengetua, guru, penjaga sekolah, pegawai pentadbiran dan sebagainya. Setiap peranan memiliki hak dan kewajipan yang berbeza.

Masa remaja merupakan suatu tahap yang menuntut remaja untuk melakukan penyesuaian sosial dari sudut pergaulan dengan teman-teman dan orang-orang di sekelilingnya ke arah pergaulan sebagai orang dewasa. Ini yang dikatakan sebagai transisi sosial.

Oleh itu, remaja perlu belajar agar kelak mampu menjalankan peranan yang sesuai dengan kedudukannya di suatu kelompok sosial. Ketika ia berada di sekolah, haruslah menjalankan peranannya sebagai pelajar. Tetapi ketika berada di rumah, peranan sebagai anak tidak boleh dilupakan. Apabila ia terlibat di suatu organisasi, maka peranan dan tanggung jawabnya di organisasi perlu dilakukan sebaik-baiknya.

Remaja dewasa ini harus memahami kepentingan hidup bermasyarakat. Mereka perlu diberi peluang menikmati kehidupan bermasyarakat, memahami masalah masyarakat dan mengambil bahagian dalam proses pembangunan sosial masyarakat.

Remaja seharusnya mampu membina kebolehan menabur khidmat untuk komuniti sebagai generasi baru yang mempunyai kesedaran terhadap tanggung jawab sosial, berkesedaran sivik dan mengutamakan solidariti masyarakat.

Namun begitu terdapat batas-batas yang perlu dipatuhi selama bersosial sesama anggota masyarakat dengan sihat tanpa merugikan satu sama lain. Justeru, Islam menganjurkan dalam bermasyarakat, hendaklah sentiasa bersifat ihsan, berakhlak mulia dan sentiasa memahami antara kehendak dan keperluan masing-masing.

Amat penting juga untuk menitikberatkan peranan nasihat dan sabar dalam hidup bermasyarakat. Ini kerana bergaul atau berinteraksi dengan orang lain, sudah tentu akan mengakibatkan munculnya perasaan yang berbeza-beza pada setiap peribadi.

Lantaran itu, ukhuwah yang benar dan baik adalah saling memberikan nasihat kebaikan. Firman Allah SWT: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan saling berpesan-pesan kebenaran dan saling berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-Asr: 1-3)

Kata-kata hikmah 1

Kata-kata orang soleh perlu diambil sebagai renungan untuk mendorong kita membaiki diri.Banyak kata-kata hikmah yang boleh dikutip daripada Rasulullah,para sahabat dan orang-orang soleh.

1.Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda:

"Apa yang ada pada kamu akan habis dan apa yang ada di sisi Allag akan kekal dan Allah beri tambahan pahala kepada orang-orang yang sabar."

"Ya Tuhanku,kurniakanlah aku dua mata yang suka berlinang menitiskan airmata sebelum datang saat dimana mata menitiskan darah dan gigi menjadi bara."

2.Sayyidatina Aisyah bertanya kepada Rasulullah:

"Wahai Rasulullah,apa adakah nanti umatmu yang dapat masuk Syurga tanpa Hisab?" Jawab Baginda: "Ada,iaitu orang yang mengenang-ngenang dosanya lalu dia menangis."

3.Sayyina Umar Al-Khattab berkata:

"Jikalau tidaklah kerana takut dihisab,akan aku perintahkan membawa seekor kambing untuk dipanggang di depan pembakar roti."

"Barangsiapa takut kepada Allah nescaya tidak dapat dilihat marahnya.Barangsiapa takutkan Allah tak sia-sia apa yang dia inginkan.

4.Sayyidina Ali berkata:

"Janganlah mengharap seseorang hamba itu melainkan kepada Tuhannya dan janganlah dia takut melainkan dosanya."

" Buta hati,lupa zikrullah dan lalai akan menghindarkan diri dari garis ketetapan dan orang yang syak wasangka akan tertipu oleh angan-angan.sampai masanya ia ditimpa kecewa dan sesal tidak berhujung kerana diperlihatkan Allah hal-hal yang selama ini tidak dikiranya."

5.Imam Syafie berkata:

"Orang yang berakal itu ialah orang yang akalnya dapat mengawal segala sifat-sifat mazmumah(keji)."

6.Umar Ibnu Aziz menasihati gabenornya:

"Kekuasaan yang ada ditangan saudara-saudara telah memungkinkan bagimu untuk menzalimi rakyat.Bila terasa dihatimu untuk menzalimi seseorang, ingatlah segera betapa besarnya Kekuasaan Allah atas diri saudara-saudara."

"Ketahuilah kejahatan yang anda timpakan pada rakyat akan hilang lambat laun bekasnya dari mereka tetapi tetap bekasnya untuk saudara2 dalam daftar dosa.Ketahuilah bahawa Allah membela orang teraniaya terhadap yang menzaliminya."

7.Luqmanul Hakim menasihati Anaknya:

"Ambillah dari dunia sekadar keperluan dan biayakan lebihan hasil usahamu untuk akhirat.Dunia jangan ditolak habis agar engkau jangan jadi 'parasit'(org yg hidup menumpang pada org lain dan tidak membalas apa-apa) yang menjadi beban manusia lain."

"Janganlah engkau berteman duduk dengan orang yang bodoh sombong dan jangan dirapati orang yang bermuka dua."

Ibuku Seorang Pembohong - Kisah Tauladan

Ibuku seorang pembohong Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : ""Makanlah nak ibu tak lapar." - PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." - PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." - PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" - PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki." - PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit." - PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang." - PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." - PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali. Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu.

~ Penulis asal tidak diketahui. Kredit kepada penulis

CARA ISLAM MENANAM TATA RABBANI DALAM JIWA DAN KEHIDUPAN MANUSIA

Prof. Dr. Yusuf al-Qharadhawi

Islam telah berusaha untuk menanamkan tata Rabbani kepada jiwa setiap Muslim di dalam kehidupannya melalui pelbagai cara. Cara-cara tersebut ialah:

1. Melalui Jalan ‘Ibadah

Melalui ibadah-ibadah wajib dan sunat yang digalakkan oleh Islam. Melalui pengulangan solah lima waktu setiap hari. Solah merupakan ruh seperti ruh yang ada pada setiap jasad. Ia sentiasa menemukan muslim dengan Allah SWT.

Tatkala manusia tenggelam dalam permasalahan hidup, maka bangunlah mu’azzin melaungkan kalimah Allahu Akbar, mempersaksikan hanya Allah SWT Ilah yang ditauhidkan dan Muhammad adalah Rasulullah, mengajak menunaikan solah pada waktunya dan mengajak kepada kemenangan yang hakiki. Lalu terangkatlah muslim dari kesebokan dunia untuk berhadapan dan mengadap Allah bagi beberapa waktu yang khusus. Solah akan mendorongnya untuk menyeru ke arah kebaikan diri dan umat. Solah mengangkat dirinya dari alam kebendaan ke alam keruhanian dan daripada keegoan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain.

Berpuasa sebulan yang diulangi pada setiap tahun juga menanamkan ruh rabbani ke dalam jiwa muslim. Ketika berpuasa, muslimin mengharamkan dirinya daripada terlalu menurut hawa nafsu samada ketika makan minum, hubungan jenis dan segala aktiviti kehidupan.

Setiap hari, bermula dari terbit fajar hingga jatuh matahari, merupakan tarbiyyah bagi kemahuan dan kehendak nafsu. Puasa melatih muslim untuk menuju taqwa demi mencapai kesempurnaan ibadah kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam sebuah Hadith Qudsi, mafhumnya:

“Puasa itu kepunyaanKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya; hamba yang meninggalkan makanan keranaKu, hamba yang meninggalkan minuman keranaKu, hamba yang meninggalkan isteri keranaKu dan hamba yang meninggalkan kelazatan keranaKu.”

Berzakat, dengan selalu mengeluarkan harta dapat menghapuskan sifat bakhil, membersihkan harta dan membersihkan jiwa. Disamping itu memupuk rasa syukur kepada Allah SWT di atas segala ni’mat pemberianNya. Firman Allah SWT:

“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan.”- Surah at-Taubah: 103

Zakat mengandungi makna pembersihan, penumbuhan dan keberkatan. Manakala perkataan Dharibah (cukai) pula mengandungi makna pemaksaan, kekerasan dan hutang. Dengan demikian tuntutan Islam menunaikan zakat adalah secara suka rela dan redha meredhai serta memohon kepada Allah SWT dengan do’a yang bermaksud:

“Ya Allah! janganlah jadikan (zakat ini) sebagai barang rampasan tetapi jadikan (zakat ini) sebagai hutang.”

Haji pula memisahkan seseorang Muslim dari tanah air, keluarga dan sanak saudara. Orang yang menunaikan haji berhijrah kepada Allah SWT, mengorbankan diri dan harta, menanggung beban perpisahan dan beberapa kesusahan kerana menunaikan kehendak Allah SWT hinggalah sampai ke Tanah Suci. Di Tanah Suci itu telah didirikan rumah ibadah pertama di muka bumi ini. Di situ terdapat sejarah penghijrahan Nabi Ibrahim AS dan pengorbanan Nabi Ismail AS. Juga kesan-kesan peninggalan Nabi Muhammad SAW dan da’wah baginda.

Di Tanah Suci orang Islam dari pelbagai bangsa dan keturunan meninggalkan sesuatu yang melambangkan gejala-gejala perbezaan seperti kedudukan, pangkat, keturunan dan negeri. Mereka memakai pakaian seakan-akan kain kafan orang mati. Pakaian itu lahir semasa haji dan lebih tinggi kedudukannya. Muslim menghalakan segala hati, lisan, perasaan dan harapan kepada Allah SWT:

“Aku perkenankan seruanMu wahai Tuhanku, aku perkenankan seruanMu, yang tiada sekutu bagiMu. Sesunguhnya segala pujian dan nikmat adalah kepunyaanMu dan juga segala pemerintahan, Dan tiada sekutu bagiMu.”

Ibadah fardhu yang asasi merupakan batasan minima yang mencorakkan hubungan manusia dengan Allah SWT. Islam juga membuka pintu bagi seseorang melakukan amalan-amalan nawafil demi mendekatkan diri kepada Allah SWT disamping melakukan perkara yang disukaiNya. Antaranya solah-solah sunat di samping solah-solah wajib lima waktu, puasa-puasa sunat di samping puasa wajib Ramadhan, sadaqah-sadaqah di samping zakat yang wajib, umrah di samping haji yang wajib. Berdasarkan amalan-amalan ini, terjadilah perlumbaan di kalangan mereka yang ingin berlumba-lumba membuat kebaikan dan dahulu mendahului di kalangan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Dalam sebuah hadith Qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Tiada yang lebih sempurna taqarrub hambaKu kepadaKu kecuali dengan menunaikan fardhu-fardhu yang Aku wajibkan ke atasnya, hambaKu yang sering mendekatkan diri kepadaKu dengan melakukan Nawafil sehingga Aku senangi dan Aku cintai. Apabila Aku telah menyenanginya, Aku melindungi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, matanya yang dengannya ia melihat, tangannya yang dengannya ia mempergunakannya. Jika ia meminta perlindungan, Aku beri perlindungan kepadanya dan jika ia meminta sesuatu Aku beri kepadanya.” - Hadith Riwayat Bukhari

BUKANLAH ibadah itu (samada fardhu atau sunat) hanya menghubungkan seseorang makhluk dengan Khaliknya semasa melakukan ibadah itu sahaja, selepas itu ia tidak lagi berhubung dengan Allah sehingga ia kekal atau kembali semula kepada kehidupan mengikut hawa nafsunya. Sama sekali tidak. Peranan ibadah adalah menanamkan Islam ke dalam hati orang-orang yang menunaikannya, menanamkan taqwa kepada Allah SWT yang Maha Tinggi kedudukanNya, memberikan bekalan ingatan kepadaNya tatkala lupa, menguatkan azam tatkala lemah dan menerangi jalan hidup tatkala lampu-lampu yang menerangi kelilingnya menjadi malap atau padam.

Islam tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadi manusia Rabbani di dalam masjid. Di dalam masjid ia ruku’, sujud, bermunajat dan berdo’a, tetapi apabila keluar dari masjid corak hidupmya berubah dari Insan Rabbani kepada Insan Haiwani atau Insan Syaitani.

Islam juga tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadi manusia Rabbani di bulan Ramadhan. Apabila hilang bulan Ramadhan maka hilanglah padanya sifat ibadah dan taat kepada Allah SWT. Seolah-olah ia menyembah bulan Ramadhan bukan Rabb bulan Ramadhan. Salaf as-Saleh di kalangan Umat Islam berkata, “Jadilah orang-orang Rabbani, tetapi janganlah menjadi orang-orang yang hanya beribadat di bulan Ramadhan sahaja.”

Islam juga tidak suka seseorang itu hanya menjadi Rabbani ketika ia berada di sisi Bait al Haram, Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masya’ir Muqaddasah. Apabila selesai sahaja ibadah haji maka selesailah sudah tuntutan umrah, haji dan ziarah. Apabila berkira bicara untuk pulang, maka ia lupa udara Rabbani serta makna Rabbani. Tenggelamlah ia di dalam perut kehidupan kebendaan sebagaimana tenggelamnya orang-orang yang lalai.

Islam tidak suka Muslim seperti ini. Islam menghendaki seseorang Muslim sentiasa mempunyai hubungan dengan Allah di masjid, di jalan, di tempat kerja, di bulan Ramadhan dan di semua tempat serta keadaan. Rasulullah S.A.W. berpesan yang bermaksud:

“Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada.”
- Hadith Riwayat Tirmizi.

Firman Allah SWT:

"Dan kepunyaan Allah timur dan barat, maka ke mana kamu menghadap di situlah wajah Allah.” - Surah al-Baqarah: ayat 115.

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:

“Sebaik-baik malan yang disukai Allah ialah amalan yang sentiasa dilakukan walaupun sedikit.”
- Hadith Riwayat Bukhari.

2. Melalui Jalan Akhlaq

Jalan seterusnya untuk menanam tata Rabbani ke dalam hati Muslim dan kehidupannya ialah melalui jalan akhlak assalimah. Akhlak lahir pada setiap ketika dalam kehidupan muslim samada yang merupakan tingkah laku individu atau masyarakat.

Islam mengambil kesempatan menghubungkan seseorang Muslim dengan Allah melalui akhlak seharian. Apabila ia duduk di hadapan hidangan makanan, ia dahulukan dengan menyebut nama Allah, Bismillahirrahmanirrahim. Allah SWT yang menyediakan sebab-sebab sehingga sampai rezeki yang halal kepadanya.

Apabila ia merasa kenyang dan beredar daripada hidangan maka disudahi pula dengan pujian kepada Allah, Alhamdu Lillah.

Apabila minum ia berkata (yang bermaksud):

“Segala pujian bagi Allah SWT yang menjadikan air seenak sungai Furat dengan rahmatNya dan tidak menjadikan air masin dan pahit dengan sebab-sebab dosa kami.”

Apabila memakai pakaian ia berkata (yang bermaksud):

“Segala Pujian kepada Yang telah memberikan pakaian kepadaku. Wahai Rabbku, bahawasanya aku memohon kepadaMu daripada kebajikan pakaian ini dan daripada sesuatu pakaian ini dibuatkan untuknya. Dan aku berlindung dengan Engkau daripada kejahatan pakaian ini dan daripada kejahatan sesuatu yang pakaian ini dibuatkan untuknya.”

Begitulah ia berdoa apabila memenfaatkan sesuatu ni’mat pemberian Allah SWT.

Apabila ia menunggang binatang atau menaiki sebarang kenderaan ia berkata (yang bermaksud):

“Maha Suci Yang menggerakkan kenderaan ini untuk kita, pada hal sebenarnya kita tidak memiliki kekuatan untuk menundukkannya dan bahawasanya kita pasti kembali kepada Rabb kita.”

Apabila bersafar ia berkata (yang bermaksud):

“Wahai Rabb, Engkaulah teman di dalam safar ini dan Engkaulah yang menjadi pengganti penjaga keluargaku. Wahai Rabb temanilah kami di dalam safar kami dan lindungilah keluarga kami.”

Dan apabila pulang dari safar ia berkata (yang bermaksud):

“Kami adalah orang yang kembali, orang yang bertaubat, orang yang beribadat, orang yang memuji Allah, Rabb kami.”

Apabila meletakkan rusuknya untuk tidur ia berkata (yang maksudnya):

“Dengan nama Engkau, ya Rabbku, aku letakkan rusukku dengan nama Engkau dan dengan nama Engkau juga aku mengangkatnya.”

Dan apabila bangun dari tidur untuk menaiki bahtera kehidupan ia berkata (yang bermaksud):

“Segala pujian bagi Allah yang telah menghidupkan aku sesudah mematikan aku dan kepadanya tempat kembali.”

Malah ketika menyetubuhi isteri, seseorang Muslim masih mengingati unsur Rabbani, yang mengurangkan kerakusan dan membawa ia ke ufuk yang tinggi. Ia berkata (yang bermaksud):

“Dengan nama Allah, wahai Rabb, jauhilah kami daripada godaan Syaitan dan jauhkanlah pula daripada godaannya terhadap apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepada kami.”

Begitulah kehidupan seorang Muslim. Ia tidak pernah lupa kepada Allah. Tidak pernah lalai dalam hubungan dengan Allah, malah merasa dekat denganNya dan jinak dengan-Nya. Tata rabbani sentiasa bersamanya ke mana sahaja ia pergi.

3. Melalui Jalan Pendidikan Dan Pembentukan

Jalan pendidikan dan pembentukan merupakan jalan yang paling penting dan berkesan.
Pendidikan hendaklah bermula di rumah, kemudian di sekolah. Tata rabbani hendaklah ditanam ke dalam fikiran anak-anak yang sedang membesar dengan menggunakan cara yang baik dan berhikmah.

Jika bapa merasai bertanggunjawab untuk menyediakan makanan dan kebendaan kepada anak-anaknya supaya mereka tidak terdedah kepada penyakit dan maut, maka lebih-lebih lagi bapa bertanggungjawab untuk memberi makanan ruh kepada mereka. Bapa tidak patut lalai daripada menunaikan tanggungjawab yang membawa kerosakan lebih dahsyat daripada kelaparan atau maut. Kelalaian pendidikan akan mendedahkan anak-anak kepada kematian hati atau ruhani. Kematian hati akan membawa kepada kerosakan yang berkekalan. Sebab itulah pendidikan sangat penting. Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap orang adalah pengembala dan setiap daripada kamu bertanggungjawab terhadap gembalaannya.” - Hadith Riwayat Muslim dan Bukhari

Firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman, periharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka.”
- Surah at-Tahrim: ayat 6

Ibu bapa diwajibkan mendidik anak-anak mereka agar taat kepada Allah SWT. Apabila anak-anak telah sampai kepada umur yang boleh menerima pengajaran iaitu tujuh tahun, mereka dididik agar menunaikan apa yang difardhukan Allah SWT. Ketegasan pula perlu digunakan ketika mereka berumur sepuluh tahun. Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):

“Latihlah anak-anak kamu menunaikan solah ketika berumur tujuh tahun, pukullah mereka ketika berumur sepuluh tahun.” -Hadith Riwayat Bukhari

Suruhan memukul bukanlah bererti menganiaya atau menyiksa kanak-kanak. Bahkan memukul itu sebagai tanda kesungguhan bapa mentarbiyyah anak-anak lelaki dan perempuan mereka agar mentaati Allah. Ibubapa yang murabbi tentulah tidak sanggup membiarkan keingkaran anak-anak lahir begitu sahaja tanpa dihukum.

Rasulullah SAW ada menegaskan bahawa, pada kebanyakan keadaan, pergaulan ibu dengan anak-anak kecil lebih memberi kesan daripada pergaulan dengan bapa.

Sekolah pula berperanan untuk mendidik pelajar lelaki dan perempuan dengan nilai-nilai Rabbani. Tidak mencukupi jika sekolah hanya memberikan ilmu pengetahuan, kemahiran kebendaan dan ilmu kehidupan, kemudian meninggalkan mereka teraba-raba serta jahil tentang isu kewujudan yang hebat dan mengkagumkan. Mereka ditinggalkan dengan soalan-soalan yang tidak dibekali jawapan-jawapan seperti “Dari mana kita datang?”, “Siapa yang menjadikan kita?”, “Mengapa kita dijadikan?”, “Ke mana kita akan pergi selepas kehidupan dunia ini?”, “Apakah itu risalah Islam dan sipakah yang menentukannya?”, “Apakah balasan bagi orang yang menunaikan ajaran Islam?” dan “Apakah balasan bagi orang yang mengingkari ajaran Islam?”

Hanya keimanan kepada Allah SWT sahajalah yang dapat menjawab segala persoalan di atas dengan jawapan-jawapan yang yakin dan menenangkan hati. Itu keimanan hakiki yang ditentukan oleh Islam. Jawapan yang berasaskan iman akan terselamat daripada kesilapan manusia, keraguan, lintasan hati yang salah dan pertentangan fikiran.

Sekolah yang tidak menanamkan keimanan kepada jiwa pelajar-pelajar akan melahirkan generasi yang gelisah dan mempunyai unsur penentangan dalam diri. Generasi ini akan mengharung gelombang hidup dengan rasa resah dan gelisah. Tanpa panduan dan petunjuk, sudah tentu mereka akan bertambah sesat dan tidak menjumpai jalan pulang iaitu jalan yang lurus.

Wallahu A’lam

Kerak Nasi Untuk Emak

Ada lagu yang mengatakan andai bumi terbelah aku tetap cita padamu, ada yang mengatakan hanya kau yang kucinta di dunia.. tapi sayang .Orang yang paling dan patut kita sayangi di dunia ini ialah IBU kita .. bukan kekasih.. yang hanya datang sekejap dalam hidup kita.. FIKIRKANLAH…

Itulah pengorbanan seorang ibu. Sedih.. Sayangilah ibu anda selagi dia masih hidup.

Ini ada cerita dari seorang kawan. Cerita betul yang meyayat hati….

Hari ini semua adik beradik pulang beraya di Kuala Lumpur setelah beraya di kampung mertua. Ibu yang di KL agak kesunyian, tetapi setelah mendengar abang dan kakak-kakak hendak datang beraya ,ibu gagahi juga bangun pagi menggoreng nasi buat santapan pagi mereka yang akan datang nanti. Aku yang bongsu tinggal dirumah sambil menolong apa yang patut memerhati kegagahan ibu yang sememangnya aku tahu sakit dan bengkak kakinya semakin menjadi-jadi semenjak bulan puasa tempohari. Aku minta untuk membantu ,”Tak payah” katanya “Biar mak yang buat nanti lain rasanya”. Aku biarkan sahaja walau dalam hati terasa pedih dan sayu melihat kegagahan mak nak juga sediakan nasi goreng untuk anak-anaknya yang baru nak merayakan Aidilfitri bersamanya.

Aku tahu disudut hati mak ada rasa sedih dan sayu kerana anak lelakinya tak beraya bersama di pagi raya..tetapi langsung tidak ditunjuk malah ingin pula menjamu anaknya. Terhinjut-hinjut mak kesana ke mari mengambil bahan-bahan nasi goreng. bukan main khusyuk dan bersungguh cuba menyediakan juadah yang semampunya.

Bila semuanya dah sampai aku mula hidangkan nasi yang digoreng mak untuk abang- dan kakak yang tiba dengan anak-anak mereka. Semuanya pakat menjamu selera..memang berselera semua sukakan nasi goreng mak..mak tahu anak-anaknya sukakan nasi goreng air tangannya..Dalam tak sedar nasi dah hampir habis. Terdetik dihatiku…” ahhh mak belum makan apa-apa semenjak
pagi kerana sibuk sediakan nasi tu”…seraya tu abang ku bertanya ’siapa tak makan lagi nasi ni’. Aku menjawab ‘ mak belum makan apa lagi tu’ Mak dengan bersungguh menjawab ” Ehh mak tak mau…tak lalulah nasi goreng, nak makan roti ja sat lagi’…dua tiga kali kami pelawa begitu juga jawabnya. Kataku dalam hati.” Oohh mungkin juga mak nak makan roti sebab nak kawal penyakit diebetisnya” ..

Bila semua dah pulang..aku lihat mak terhinjut-hinjut ke dapur..lantas aku tanya ‘mak nak apa..nak ambilkan.’.’ takpa nak rasa ni sikit’. Sayu sedih dan terguris sungguh hati aku..bila kulihat mak rupanya sedang mengikis kerak-kerak nasi goreng yang masih berbaki dalam kuali untuk dimakan. Itulah kasih seorang ibu pada anak-anaknya. ..zaman sekarang pun masih ada ibu yang sanggup berlapar dan mendahulukan anak-anaknya asal mereka semua kenyang. Aku benar-benar kalah dengan apa yang aku saksikan..

YA RABB Engkau peliharalah Ibu, ampunilah dosanya, Berilah kekuatan pada anak-anaknya untuk membalas jasa ibu yang tak terhingga.

AMIN….

Kecantikan yang Akan Kedam

Oleh Dr Tuah Iskandar Al-Haj

Saya teringat satu kisah yang menimpa seorang ulama sewaktu dia dalam penerbangan. Apabila tiba waktu solat, dia pun pergilah ke tandas untuk berwuduk. Al maklum, tandas di dalam kapal terbang memang sempit, maka dia pun terpaksalah membuka pintu tandas itu ketika berwuduk. Tatkala dia sedang mengangkat salah satu daripada kakinya ke sinki (washing basin), seorang pramugari telah ternampak perbuatan ulama itu dan segera menegurnya.

Pramugari: (Dengan suara dikeraskan) Tuan tak boleh memasukkan kaki ke dalam sinki itu.

Ulama: Mengapa?

Pramugari: Kotorlah sinki itu nanti.

Ulama: Tapi tidak disediakan gayung untuk saya mencuci kaki di mangkuk tandas.

Pramugari: Itu bukan alasan membasuh kaki di sinki.

Ulama: Habis, kalau saya hendak membasuh kaki di mana harus saya membasuhnya?

Pramugari: Tak perlu mencuci kaki ketika menaiki kapal terbang.

Ulama: (Dengan suara lembut dan penuh rendah diri) Berapa kali saudari mencuci muka saudari dalam satu hari?

Pramugari: Tuan, orang macam saya paling tidak cuci muka sekali atau dua kali sehari. Takkan tuan tak tahu pramugari macam kami perlu jaga penampilan wajah. Kami kena rawat wajah kami setiap masa. Kami kena pastikan orang puas hati walau hanya dengan melihat wajah kami.

Ulama: Saya mencuci kaki saya lima kali dalam sehari, satu kali cuci tiga kali berturut-turut, bererti kaki saya lebih bersih dari muka saudari.

Jawapan seperti ini bukanlah pula hendak merendah-rendahkan orang lain tetapi sekadar membuat perbandingan ciri orang beriman bersama bukti dengan orang beriman tanpa bukti. Orang yang beriman bersama bukti, walau apa pun keadaannya dia akan lakukan semua kewajipan biarpun susah, sebaliknya orang beriman tanpa bukti berpegang teguh pada suara hati tetapi tidak sanggup atau kecundang tatakala diberikan sedikit ujian.